Posted in Motivasi, Tips

Elak daripada membaca fikiran orang

Selamat kembali bertugas saya ucapkan kepada rakan-rakan AKRAB. Rasanya dah lama benar blog ini tidak di kemaskini. Almaklum sajalah, selepas cuti beraya, ada pelbagai program yang perlu dilaksanakan sama ada yang rasmi dan yang tidak rasmi. Program jamuan hari raya boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu.

Saya percaya ahli-ahli AKRAB juga terlibat aktif dalam program-program di agensi masing-masing. Kehadiran ahli AKRAB perlu dirasai oleh rakan-rakan di persekitaran kita. Bukannya untuk menjadi glamour, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita sedikit sebanyak dapat membantu atau memberikan semangat kepada  rakan-rakan sejawat. Pada kali ini saya akan menyambung tip ke 8 dari “10 Tip Memudahkan Pergaulan” tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan di dalam buku “Rahsia Personaliti Unggul”,  yang telah dibincangkan sebelum ini.

Tip berikutnya ialah “Elak daripada Membaca Fikiran Orang”. Satu Pepatah Inggeris yang terkenal berbunyi, “Don’t judge a book by it’s cover”. Maknanya jangan menilai seseorang hanya daripada tanggapan pertama. Selalunya, kita akan melabel dan meletakkan ‘warna’ pada seseorang pada pandangan pertama tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Kita melakukan perkara ini dengan melihat rupa fizikal atau tingkah laku seseorang. Apabila kita melabel orang lain, kita seolah-olah membaca fikirannya.

Kita menganggap kita tahu apa dorongan dia melakukan sesuatu dan apa matlamat dia melakukan demikian. Tanpa bersoal panjang, kita menganggap kita tahu segala-galanya tentangnya. Namun, apabila berinteraksi, semuanya bagai tidak kena. Sama juga halnya dengan kita. Apabila orang lain menganggap kita itu dan ini, kita juga melenting dan kata orang itu tidak faham diri kita. Dalam hal ini, baru kita faham bahawa orang lain juga tidak dapat baca fikiran kita !.

Posted in Motivasi, Tips

Belajar Kaedah Komunikasi…

Tip yang ke 7 (dari 10 Tip memudahkan pergaulan) ialah – Belajar Kaedah Komunikasi Yang Berkesan. Menurut kajian, antara tiga penyebab utama masalah rumah tangga adalah kerana komunikasi yang tidak berkesan.

Bahkan banyak perselisihan adalah disebabkan kerana masalah komunikasi. Isu kecil boleh menjadi besar apabila manusia tidak faham cara berkomunikasi yang betul.

Oleh itu bagi meningkatkan persefahaman dan mengeratkan perhubungan yang berkesan, terutamanya komunikasi interpersonal.  Bahkan ramai yang tidak tahu bentuk komunikasi tidak verbal seperti bahasa badan merangkumi sekitar 50 hingga 70 peratus maksud yang disampaikan semasa berkomunikasi.

Sumber : PSQ Rahsia Personaliti Unggul, Ahmad Amri Zainal Adnan.

Posted in Motivasi, Tips

10 tip memudahkan pergaulan..Siri 4

Pada kali ini saya akan berkongsi dua tip lagi iaitu tip yang kelima ialah Fahami orang lain – Bagi memahami  mengapa seseorang melakukan apa yang dilakukan, kita perlu cuba memahami karakter orang itu. Tingkah laku adalah hasil daripada kedinamikan personaliti, pengaruh persekitaran dan pembelajaran. Oleh kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia, ia dapat membuka ruang kepada perbezaan cara berfikir dan tingkah laku.

Apabila kita berjaya memahami orang lain, maka kita dapat faham mengapa berlaku perbezaan. Apabila kita faham mengapa berlaku perbezaan, maka kita dapat menerima perbezaan antara satu sama lain. Stephen Covey berkata, jika saudara mahu difahami, cuba memahami orang lain terlebih dahulu.

Tip yang keenam ialah Banyakkan Mendengar, Kurang Bercakap – Ramai orang suka bercakap. Apabila kita banyak bercakap sebenarnya kita mendedahkan kelemahan diri. malah, lebih banyak kita bercakap, lebih besar kemungkinan kita melukai hati orang lain. Orang yang bijaksana lebih banyak mendengar kerana dengan mendengar, manusia menerima maklumat. Apabila orang yang bijaksana hendak menuturkan kata-kata mereka akan berfikir dahulu.

Para ulama’ juga berhati-hati dalam percakapan kerana takut apa yang diperkatakan mendatangkan dosa. Nabi pernah berkata bahawa kita perlu bercakap perkara yang membawa manfaat sahaja dan didampingi seseorang pendengar yang baik. Dari sudut ilmu komunikasi pula, percakapan satu hala dapat mewujudkan perasaan tidak senang di pihak yang lain. Maka, beri peluang kepada orang supaya turut sama bercakap.

Itulah tadi dua lagi tip memudahkan pergaulan yang dipetik dari buku PSQ Rahsia Personaliti Unggul , tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan. Semoga dapat kita amalkan bersama-sama dan menggunakan kemahiran ini untuk memperkasakan lagi diri sebagai ahli AKRAB.

Posted in Motivasi, Tips

10 Tip Memudahkan Pergaulan..Siri 3

Assalamualaikum dan salam 1 Akrab, apa khabar semua ? 11 Ogos 2011 juga  bersamaan 11 Ramadahan 1432 hijarah. Maksudnya bagi ahli Akrab yang beragama Islam, kita telah menjalani 11 hari ibadat berpuasa. Sebenarnya kalau kesempatan ini digunakan sepenuhnya, banyak faedah yang telah kita perolehi secara  zahir mahupun batin.  Kali ini saya akan menyambung 2 lagi “Tip Memudahkan Pergaulan” yang dipetik dari buku “PSQ Rahsia Personaliti Unggul” tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan untuk renungan dan amalan kita bersama. Semoga bulan Ramadhan tahun ini merupakan titik tolak kepada kita membentuk personaliti unggul dan seterusnya menjadi ahli Akrab yang boleh dicontohi.

Fokus Kepada Perkara Positif  – Apabila berlaku perselisihan, satu kaedah yang dapat dilakukan bagi mengurangkan ketegangan adalah fokus kepada perkara yang positif tentang individu ataupun kumpulan itu. Jika kita asyik fokus kepada perkara-perkara negatif yang ada pada diri seseorang, minda kita turut menghasilkan persepsi yang negatif terhadap pemilik sikap atau sifat negatif itu. Setiap manusia memiliki kelebihan dan kelemahan.

Malah kadangkala kelemahan dapat bertukar menjadi kelebihan apabila kita melihat dari perspektif yang berbeza. Inilah yang dimaksudkan dengan fokus kepada positif atau kelebihan seseorang. Lebih baik lagi jika kita kembangkan perkara positif itu hingga menutup kelemahan serta kekurangannya.

Cari Persamaan – Satu kaedah psikologi yang mudah bagi mengeratkan hubungan adalah dengan mengenal pasti persamaan dengan pihak lain. Dua individu atau kumpulan yang mempunyai persamaan dapat menimbulkan daya tarikan semulajadi. Persamaan boleh jadi rupa fizikal, kegemaran, matlamat dan lain-lain. bahkan lebih banyak persamaan yang ada, lebih mudah bagi dua individu untuk berinterkasi.

Antara kelebihan apabila kita mempunyai persamaan dengan seseorang adalah kita dapat berbual tentang persamaan itu dengan penuh minat. Misalnya bola. Mereka dapat bercakap tentang bola hingga berjam-jam walaupun tidak mengenal antara satu sama lain ! apatah lagi jika saling mengenali, maka perhubungan pasti bertambah erat.

Posted in Motivasi, Pengetahuan Am

10 Tip Memudahkan Pergaulan…Siri 2

Tip kedua untuk memudahkan pergaulan ialah Hargai Pendapat Orang Lain – Selepas saudara memerah otak mencari ilham dan akhirnya berjaya mendapat penyelesaian yang saudara anggap terbaik, adakah saudara sanggup mendengar cetusan ilham saudara itu dikritik sepedas-pedasnya ? Kebanyakan orang tidak suka pendapatnya dikritik, diperlekeh dan ditolak mentah-mentah.

Oleh itu, kita jangan cepat melakukan perkara yang sama terhadap pendapat orang lain. Organiasi Jepun terkenal dengan budaya kolektif dan kerjasama berpasukan. Kerjasama berpasukan berjaya dijadikan budaya kerana antara lain mereka cuba mengelakkan diri daripada mengkritik pendapat atau idea orang lain.

Namun, mereka menggalakkan percambahan idea secara kreatif bagi menghasilkan keputusan yang dikehendaki. Pokoknya, kita perlu menghargai pendapat orang lain kerana ia adalah tuntutan dalam komunikasi.

Sumber : PSQ Rahsia Personaliti Unggul, Ahmad Amri Zainal Adnan.

Posted in Motivasi, Tips

10 Tip Memudahkan Pergaulan

Alhamdulillah, pada tahun ini kita sekai lagi diketemukan dengan Ramadhan yang mulia. Di harap ibadat puasa yang telah dan akan dilaksanakan sepanjang sebulan ini dapat membentuk diri kita menjadi seorang induvidu yang berpersonaliti unggul dan boleh dicontohi oleh rakan-rakan sekerja. Apatah lagi sebagai ahli AKRAB, kita perlu sentiasa meningkatkan ilmu kaunseling dan psikologi yang telah kita pelajari. Pada kali ini saya akan berkongsi 10 tip memudahkan pergaulan yang dipetik dari buku PSQ Rahsia Personaliti Unggul tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan. Mari kita sama-sama kongsikan tip yang pertama. Tip-tip yang seterusnya akan dikongsikan dalam post akan datang. jangan lupa untuk terus bersama blog MyAkrab.

Tip Pertama : BERSIKAP TERBUKA – Perselisihan sering terjadi kerana masing-masing mahu mempertahankan pendapat dan prinsip sendiri. Apabila kita menutup minda kita daripada mendengar pendapat pihak lain, kita seolah-olah membina tembok komunikasi antara kita dan pihak itu. Walaupun kita mungkin tidak berapa setuju dengan pendapat atau pegangan orang lain, sekurang-kurangnya kita dengar penjelasan mereka terlebih dahulu. Cuba fahami mengapa berlaku perbezaan pendapat dan hormati perbezaan itu.

Sekiranya kita mahu berbincang mengenai perbezaan pendapat, bincanglah dengan adab yang sopan. Bersikap emosional tidak menyelesaikan perbezaan pendapat, malah mendorong kepada konflik yang lebih besar.

Ajaran Islam membuka ruang perbahasan dalam soal-soal ranting dengan syarat tidak membawa kepada perpecahan dan kemudaratan yang lebih besar.

Sekian dahulu untuk kali ini. Selamat  beramal

Bersambung…

Posted in Motivasi

Berfikiran positif mengikut perspektif Islam

Allah mewajibkan manusia untuk berfkir secara mendalam. Firman Allah yang bermaksud :

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepada mu, penuh dengan barakah supaya mereka memperhatikan (merenungkan) ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran” (Shaad, 38 : 29).

Disamping memantapkan keimanan, pemikiran positif akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana.

Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan lupa diri bila diberi kejayaan.

Minda yang positif dapat juga mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan dan tidak pentingkan diri sendiri.

Sumber : Risalah Psikologi Dalam Organiasi, BPPs JPA – September 2004.

Posted in Motivasi

Kesan berfikiran positif di tempat kerja

Apabila kita sentiasa berfikiran positif dan menjadi satu budaya di tempat kerja, kesan-kesan berikut akan terlihat ;

* Dapat mempengaruhi tindakan, emosi dan perasaan anda untuk menghasilkan tugas yang produktif.

* Menikmati keseronokan dan kepuasan berkerja, melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta melihat sesuatu cabaran dan masalah sebagai satu ujian kebolehan dan kewibawaan diri.

* Bermotivasi tinggi dan dapat menghasilkan kerja yang berkualiti serta dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada organisasi dan negara.

Bersambung…

Sumber : Risalah Motivasi dalam Organisasi, BPPs JPA September 2004.

Posted in Motivasi

Ciri-ciri Individu Berfikiran Positif

Berikut adalah sambungan tajuk ciri-ciri individu yang  berfikiran positif :

*Berusaha bersungguh-sungguh. pemikiran positif akan membuat seseorang menerima keadaannya dengan besar hati dan berusaha untuk mencapai hidup yang lebih baik serta bersyukur apa yang dimilikinya dan bukannya berkeluh-kesah tentang apa-apa yang tidak dimiliki.

*Mencari jalan memperbaiki diri. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya dan tidak terlalu berharap kepada orang lain. Orang yang berfikiran positif bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan suka berdikari.

* Tidak menyalahkan keadaan. Seseorang yang bersikap positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya anda perlu menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada diri serta orang lain serta melihat setiap situasi sebagai peluang yang boleh dimanfaatkan.

* Mendengar pendapat orang lain. Orang-orang yang bersikap positif secara terbuka menerima pandangan atau teguran orang lain. Pandangan tersebut boleh dijadikan petunjuk atau panduan untuk memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi kerja.

Bersambung..

Sumber : Risalah Motivasi Dalam Organisasi, BPPs – September 2004.

Posted in Motivasi

We are what we think about !

Sekiranya anda tidak mengubah minda anda, anda tidak akan berupaya mengubah sikap anda seterusnya. Pemikiran positif akan menjana tindakan positif dan pemikiran positif akan membuatkan anda bersikap positif. Oleh itu, perubahan minda yang positif akan dapat mengubah hidup anda.

Selain itu anda juga memerlukan kesabaran, kemahuan yang kuat dan kepercayaan untuk mencapai objektif yang anda inginkan.

Apakah ciri-ciri Individu Berfikiran Positif ?

* Semakin tercabar semakin kuat. Setiap cabaran yang mendatang dianggap satu ‘tenaga’ dan satu peluang untuk menguatkan motivasi dan emosi untuk bertindak secara positif dan matang yang mana akan dapat melakukan yang terbaik dalam setiap tindakan yang diambil.

* Menggunakan bahasa dan isyarat tubuh positif. Maksudnya, bahasa yang bernadakan optimis, seperti “Masalah itu pasti akan dapat diselesaikan,” dan “Dia memang berbakat”. selain itu, anda perlu senyum, berjalan dengan langkah tegap dan gerakan tangan yang ekspresif.

Bersambung…

Sumber : Risalah Motivasi Dalam Organisasi, BPPs JPA September 2004.