Posted in Berita

Konvensyen AKRAB Kebangsaan 2011

Konvensyen AKRAB Kebangsaan Kali Ke 2 Tahun 2011 akan diadakan pada 5 Disember 2011. Konvensyen ini akan dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK). Seramai lebih 1000 orang ahli AKRAB dari seluruh negara dijangka akan menyertai konvensyen ini. Konvensyen tahunan ini diadakan bertujuan mendedahkan ahli-ahli berkenaan pengetahuan terkini berkaitan ilmu-ilmu Psikologi / kaunseling yang merupakan ilmu asas kepada ahli AKRAB, disamping mengeratkan lagi perhubungan sesama ahli. Konvensyen sehari ini akan diadakan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. YBhg Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)  dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian. Untuk makluman Konvensyen Akrab Peringkat Kebangsaan kali pertama telah diadakan pada 7 Mei 2010 bersempena majlis perasmian MAK.

Ahli-ahli AKRAB yang berminat untuk turut serta di dalam konvensyen pada kali ini bolehlah menghubungi penyelaras AKRAB di agensi masing-masing. – MyAkrab

Posted in Motivasi, Tips

Elak daripada membaca fikiran orang

Selamat kembali bertugas saya ucapkan kepada rakan-rakan AKRAB. Rasanya dah lama benar blog ini tidak di kemaskini. Almaklum sajalah, selepas cuti beraya, ada pelbagai program yang perlu dilaksanakan sama ada yang rasmi dan yang tidak rasmi. Program jamuan hari raya boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu.

Saya percaya ahli-ahli AKRAB juga terlibat aktif dalam program-program di agensi masing-masing. Kehadiran ahli AKRAB perlu dirasai oleh rakan-rakan di persekitaran kita. Bukannya untuk menjadi glamour, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita sedikit sebanyak dapat membantu atau memberikan semangat kepada  rakan-rakan sejawat. Pada kali ini saya akan menyambung tip ke 8 dari “10 Tip Memudahkan Pergaulan” tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan di dalam buku “Rahsia Personaliti Unggul”,  yang telah dibincangkan sebelum ini.

Tip berikutnya ialah “Elak daripada Membaca Fikiran Orang”. Satu Pepatah Inggeris yang terkenal berbunyi, “Don’t judge a book by it’s cover”. Maknanya jangan menilai seseorang hanya daripada tanggapan pertama. Selalunya, kita akan melabel dan meletakkan ‘warna’ pada seseorang pada pandangan pertama tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Kita melakukan perkara ini dengan melihat rupa fizikal atau tingkah laku seseorang. Apabila kita melabel orang lain, kita seolah-olah membaca fikirannya.

Kita menganggap kita tahu apa dorongan dia melakukan sesuatu dan apa matlamat dia melakukan demikian. Tanpa bersoal panjang, kita menganggap kita tahu segala-galanya tentangnya. Namun, apabila berinteraksi, semuanya bagai tidak kena. Sama juga halnya dengan kita. Apabila orang lain menganggap kita itu dan ini, kita juga melenting dan kata orang itu tidak faham diri kita. Dalam hal ini, baru kita faham bahawa orang lain juga tidak dapat baca fikiran kita !.