Mencintai diri sendiri ? Anda pasti mencintai diri sendiri, bukan ? Tidak ada yang mengatakan tindakan itu salah. Ini kerana kita hidup sesuai dengan fitrah. Diri sendiri adalah fitrah, cinta juga adalah fitrah. Oleh sebab itu, memang wajar sekiranya setiap orang mencintai diri sendiri.
Lantas, apakah hubungan antara “I love myself” dengan pembentukan kecerdasan emosi ? Memang ada kaitan rapat antara kedua-duanya. Mereka yang mencintai diri sendiri automatik sedikit sebanyak mampu mengendalikan emosi.
Sikap mencintai diri sendiri yang tidak berlebihan melahirkan percaya diri. Percaya diri membantu dalam proses pengendalian emosi. Biasanya, pengendalian diri yang baik akan memberikan latihan yang efektif bagi membentuk emosi setiap orang. Oleh sebab itu, kita perlu perasaan cinta dalam diri, yang kemudian melahirkan percaya diri.
Bagaimana manusia dapat mencintai orang lain, sekiranya dia belum mampu mencintai dirinya sendiri ? Sungguh tidak mungkin !
Cintai diri kita kerana Allah. Bisikkan dalam hati yang kita benar-benar mencintai diri sendiri. Jangan biarkan diri kita terlelap dalam gudang maksiat. Sekiranya kita membiarkannya, pada dasarnya, kita tidak mencintai diri sendiri.
Dipetik dari : Rusdin S. Rauf (2011) Smart Heart. Kuala Lumpur:PTS Millennia Sdn. Bhd.