Kursus Pensijilan Pengamal Art Drawing – House Tree Person (HTP) telah diadakan pada 27 – 28 Februari 2017 di Dewan Serbaguna, Podium B, Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Kursus ini merupakan anjuran bersama Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK) dan AKRAB Kementerian Belia dan Sukan. Peserta kursus terbuka kepada semua ahli AKRAB, Pegawai Psikologi dan Penjawat awam dari seluruh kementerian / jabatan / agensi dari seluruh negara.
Seramai 34 orang peserta dari pelbagai kementerian dan agensi telah menjadi peserta. Mereka terdiri dari AKRAB / Pegawai Psikologi – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia (MOSTI), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya (PPJ), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertahanan (MINDEFF) , Kementerian Luar Negeri (KLN), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan tuan rumah Kementerian Belia dan Sukan.
Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang trainer iaitu Prof. Madya Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, Ketua Jabatan Psikologi & Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Beliau juga merupakan Founder/Master Trainer Kursus Art Drawing-HTP. Trainer kedua ialah Encik Mohd Radhi bin Abu Shahim, Pensyarah, Universiti Malaysia Terengganu yang merupakan seorang trainer / pengkaji AD-HTP.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Encik Pauzan bin Ahmar, Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan.
Kursus ini dilaksanakan bertujuan meningkatkan profesionalisme dan kompetensi ahli AKRAB, Pegawai Psikologi & Penjawat Awam. Keistimewaan kursus ini antaranya ialah :
- Teknik yang unik, mudah, cepat dan berkesan menembusi perasaan dan pemikiran individu yang memerlukan bimbingan secara mendalam.
- Simbol lukisan HTP melalui gambar Rumah, Pokok, Orang dan lain-lain simbol adalah bahasa Sub Concious Mind yang dapat menjelaskan tentang sikap, bakat, perasaan, kebimbangan, konflik, trauma yang dialami seseorang secara dinamik dan berkesinambungan.
- Projektif gambar Rumah Pokok Orang sangat signifikan dengan kehidupan Manusia. Rumah mewakili interaksi dan hubungan kekeluargaan. Pokok menggambarkan proses perkembangan manusia yang meliputi impian, keazaman dan perkembangan masa hadapan dan Orang pula objketif kepada konsep diri sendiri.
- Mampu meningkatkan kewibawaan seseorang dalam sesi ceramah, motivasi, bimbingan, kaunseling dan psikologi dengan kaedah yang unik dan efektif menarik klien.
Peserta yang menamatkan kursus dua hari ini telah ditauliahkan Pensijilan Pengamalan Art Drawing HTP. Kursus lanjutan dijangka akan ditawarkan kepada peserta yang layak pada akhir tahun ini.
Penutup kursus telah disempurnakan oleh Encik Mazlan bin Abd Mutalib, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KBS. Di dalam ucapannya beliau mengharapkan agar peserta-peserta dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari bukan sahaja kepada klien atau rakan sekerja, tetapi juga kepada ahli keluarga. Semoga ilmu yang diperoleh dapat memberi manfaat kepada seluruh warga perkhidmatan awam.