Posted in Berita, Kongsi Pengalaman

Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Kali ke 17 “Budaya Pengiktirafan : Antara Realiti dan Ekspektasi”

Budaya Pengiktirafan di dalam perkhidmatan awam pada masa sekarang adalah pada tahap sederhana, begitulah hasil kajian yang diperolehi oleh Bahagian Pengurusan Psikologi JPA (BPPs)  berdasarkan soal selidik terhadap 1891 orang responden di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Kertas Kerja Bertajuk “Budaya Pengiktirafan : Konsep dan Aplikasi“ telah dibentangkan oleh Dr. Aris Kasan (Pengarah BPPs) di Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam 2011 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini iaitu bermula 5 – 6 Julai 2011 menampilkan barisan  pembentang kertas kerja dan panel forum yang terdiri dari tokoh akademik, tokoh perniagaan dan selebriti tempatan. Tema Seminar Psikologi kali ke 17 ini ialah “Budaya Pengiktirafan : Antara Realiti dan Ekspektasi”. YBhg Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara, telah menyampaikan ucap utama dan menyempurnakan majlis perasmian seminar yang dihadiri oleh Pegawai Psikologi, Pengurus Sumber Manusia agensi perkhidmatan awam persekutuan dan negeri, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan pelajar IPT tempatan.

Pada hari pertama, dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu yang pertama “Budaya Pengiktirafan : Konsep dan Aplikasi” oleh Dr. Aris Kasan, Pengarah BPPs.  Kajian ini secara umumnya inign melihat budaya pengiktirafan dalam organisasi perkhidmatan awam. Budaya pengiktirafan ini dilihat berdasarkan kepada empat perkara iaitu i) amalan memberi pengiktirafan di kalangan pengurusan organiasi, ii) amalan memberi pengiktirafan di kalangan warga organisasi, iii) pelaksanaan aktiviti pengiktirafan dalam organiasi, serta iv) kemahiran memberi pengiktirafan dalam organisasi.

Data menunjukkan majoriti responden menginginkan pengiktirafan daripada pengurusan atasan dan ketua jabatan (59.1%), diikuti oleh pengiktirafan daripada penyelia terdekat (16.2%), rakan sekerja atau pasukan (12.5%), pelanggan (10.4%), manakala selebihnya tidak pasti (1.8%). Bentuk pengiktirafan yang dianggap sangat penting ialah peluang kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya (52.7%).  Sebahagian besar daripada responden menginginkan pengiktirafan yang disampaikan secara rasmi (63.2%), manakala selebihnya memilih pengiktirafan yang disampaikan secara tidak rasmi (29.7%).

Kertas kerja kedua bertajuk “Pengiktirafan : Ekspresi Komunikasi dan Interaksi” telah dibentangkan oleh Encik Akmal bin Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Beliau telah berkongsi pengalaman di dalam mengendalikan ABPBH, iaitu satu majlis yang berprestij dan gah di kalangan insan seni tanahair.

“Forum : Pengamalan Budaya Pengiktirafan” telah dikendalikan oleh YBhg Dato’ Dr. Ismail bin Alias, Timb. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) dan dijayakan oleh tiga orang panel yang berkaliber  iaitu YBhg Dato’ Hj. Ameen Ali bin Mydin (Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holding), Puan Nora binti Abdul Manaf (Senior Executive Vice President Group Human Capital, Maybank Berhad) dan YBhg Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi bin Ab. Majid (Pensyarah UIAM). Setiap panel mempunyai latar belakang yang berbeza, namun mempunyai kekuatan yang tersendiri semasa membuat pembentangan dan perkongsian pengalaman.

YBhg Datuk Hj. Ameen telah berkongsi pengalaman syarikat MYDIN  dalam menerapkan budaya pengiktirafan. Menurut beliau  setiap pengurus perlu prihatin terhadap pekerja “Take Care of  Your Employees with Your Heart,Your Employees will Take Care of your customers with Their Heart” . Di MYDIN, mereka mempunyai SOP khas bagi mewajibkan pengurus melawat pekerja yang sakit dan terlantar di hospital. Selain itu aktiviti kebajikan, kerohanian, sukan dan CSR turut ditekankan kepada setiap warga MYDIN. Puan Nora pula mengaitkan aspek pengiktirafan dan keutungan jangka panjang yang diperoleh oleh institusi perbankan yang terkenal ini. Beliau menegaskan pengiktirafan perlulah bertempat dan bersesuaian bukannya sekadar ucapan manis di bibir sahaja. Beliau juga percaya, kita perlu bersederhana dan tidak terlalu ekstrim dalam memberikan pengiktirafan. Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi pula berjaya menarik perhatian peserta dengan membincangkan pengiktirafan dari sudut pandangan Islam dan apa yang telah di sarankan oleh Rasulullah S.A.W.

Encik Aswadi bin Omar, Pegawai Psikologi dari Kementerian Pertahanan  pula telah diundang bagi sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Pengalaman dan Pelaksanaan Perkhidmatan Psikologi (Kementerian Pertahanan)” selaku agensi yang menerima status lima bintang dalam pengurusan psikologi. Sementara itu, bagi melengkapkan ilmu pengetahuan gerai jualan buku dan pameran juga turut dibuka kepada peserta oleh pihak BPPs, INTAN, PTS, Persatuan Kaunseling Malaysia (PEKAMA), MAMPU dan International Psikology Centre.

Secara keseluruhannya hari pertama Seminar Psikologi ke 17 ini berjalan lancar dan memuaskan hati semua perserta. Ini merupakan pengalaman pertama saya mengikuti seminar ini semenjak menjadi ahli AKRAB pada tahun 2008. Semoga peluang sebegini akan diperoleh lagi pada masa hadapan demi memantapkan lagi ilmu psikologi dan kaunseling ahli AKRAB.

Oleh : Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria. Setiausaha, Majlis AKRAB Kebangsaan

 

 

Author:

Blog Rasmi Majlis AKRAB Kebangsaan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s