Buku Kompilasi Amalan Terbaik AKRAB (ATA) ini telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Seri Zainal Rahim bin Seman, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) pada 19 Jun 2014 dalam Majlis Konvensyen AKRAB Kebangsaan Kali Ke 5 di Grand Ballroom, Hotel De Palma Shah Alam, Selangor.
Amalan Terbaik AKRAB (ATA) merujuk kepada program, aktiviti, latihan, sistem, prosedur, kaedah, penyertaan, inovasi dan kreativiti, kepimpinan, kerja-kerja kesukarelaan (Corporate Social Responsibilties – CSR), pengurusan organisasi dan sebagainya yang telah dilaksanakan oleh organisasi AKRAB di semua kementerian, jabatan dan agensi. Pelaksanaannya akan dapat memberi manfaat, nilai tambah, impak positif dan peningkatan imej kepada ahli dan organisasi AKRAB khasnya serta Perkhidmatan Awam amnya.
Penghasilan buku ini merupakan satu usaha yang terancang dan sistematik bagi tujuan pengumpulan amalan-amalan terbaik AKRAB dari setiap peringkat agensi Kerajaan. Penulisannya pula dapat membantu ahli dan organisasi AKRAB bertukar-tukar ilmu dan pengalaman tentang amalan terbaik yang pernah dan sedang dilaksanakan. Setiap ATA yang dikongsikan adalah unik dan boleh diaplikasikan oleh mana-mana organisasi AKRAB mengikut kesesuaian. Perkongsiannya pula berorentasikan pembelajaran, perkongsian dan penilaian serta pengiktirafan terhadap ATA yang telah berjaya dilaksanakan.
Kesinambungan di antara ATA dengan agenda transformasi dilihat sebagai suatu platform perubahan ke arah penambahbaikan amalan AKRAB. Sebagai agen penggerak kepada perubahan ini, ahli AKRAB perlu mendahului perubahan di dalam diri sebelum berkembang ke dalam organisasi seterusnya kepada masyarakat dan Negara.