Posted by: Admin | May 16, 2012

Budaya Kerja….Pencapaian Diutamakan

Konsep Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan merangkumi tiga aspek penting iaitu :

a) Cara berfikir dan Pemikiran

Penjawat awam perlu berminda positif, rasional dan bijaksana supaya dapat memberi kebaikan dan kesejahteraan diri serta orang lain. Pemikiran ini mempunyai elemen-elemen berikut :

i. Minda Disiplin – Penguasaan kepada disiplin ilmu sains, matematik, sejarah atau sekurang-kurang satu disiplin ilmu. Ilmu itu akan dapat dimanfaatkan dalam pekerjaan dan kehidupan.

ii. Minda Sintesis – Kemampuan untuk mengintegrasikan idea dan pelbagai disiplin kepada konsep yang mudah difahami dan idea itu dapat disampaikan kepada orang lain.

iii. Minda Mencipta – Kemampuan untuk mengolah dan menjelaskan permasalahan atau fenomena kepada pendekatan baru yang lebih baik.

iv. Minda Menghormati – Kesedaran dan penghargaan terhadap keunikan individu yang mempunyai potensi diri, nilai dan cara hidup yang berbeza.

v. Minda Beretika - Kemampuan untuk mematuhi, mengikuti dan menunaikan setiap peranan sebagai seorang insan sama ada di tempat kerja atau dalam masyarakat.

b) Cara berasa dan Menghayati

Seseorang itu haruslah mempunyai kebolehan memahami serta mengurus emosinya dan emosi orang lain. Hasil kebolehan tersebut, seseorang itu berupaya memenuhi tuntutan perkhidmatan berkualiti yang diinginkan oleh organisasinya. Seterusnya ia dapat meningkatkan lagi hubungan peribadi dan iterpersonal ketika menyampaikan perkhidmatan.

c) Cara bertindak dan Berperilaku

Seseorang penjawat awam memperlihatkan perlakuan dan amalan baik serta terpuji yang melebihi daripada kebiasaan. Mereka juga perlu mempunyai sikap ingin tahu dan mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan.

Dipetik dari : SPP Bil. 12/2009 – Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian diutamakan

Posted by: Admin | May 16, 2012

Tahukah Anda ?

Program Pembimbing Rakan Sekerja

Program ini berkonsepkan rakan membantu rakan dengan memupuk semangat berpasukan, keakraban, keharmonian dan saling menghormati potensi masing-masing. Ia juga merupakan pembentukan kelompok sokongan kepada pegawai yang dikenalpasti di bawah Program Penilaian Pekerja dan diketuai fasilitator yang telah dilatih untuk mengendalikan program ini.

Dipetik dari : PP Bil. 18/2005 – Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam

Posted by: Admin | February 15, 2012

10 Tip memudahkan pergaulan….Tip ke 9

Layan Orang Sebagaimana Kita Mahu Orang Layani Kita

Pernahkah anda mengalami keadaan di mana anda menerima layanan buruk daripada seseorang ? Anda tentu mengutuk keras tindakan tidak sopannya. Bagaimana pula perasaan orang lain jika anda pula yang melakukan perkara yang sama. Ramai orang tidak mengambil kira kesan tindakannya apabila ia melakukan sesuatu terhadap orang lain tetapi apabila terkena atas batang hidung sendiri barulah kita sedar betapa sakitanya diperlakukan demikian.

Bagi mengelakkan perasaan rakan ataupun pasangan kita terguris, fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Apatah lagi apabila kita dalam keadaan marah kerana ketika itu, nafsu menguasai fikiran dan bukannya fikiran menguasai nafsu. Mudah bicara, jangan melakukan sesuatu kepada orang lain yang kita rasa tidak akan disukai jika ia dilakukan terhadap kita.

Sumber : Ahmad Amri Zainal Adam, PSQ Rahsia Personaliti Unggul.

Posted by: Admin | December 14, 2011

Konvensyen AKRAB Ke 2 Meriah

Konvensyen AKRAB Kebangsaan kali ke 2 Tahun 2011 anjuran bersama Bahagian Pengurusan Psikologi (BPPs) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK) telah diadakan pada hari Isnin, 5 Disember 2011 bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Seramai lebih 1100 orang ahli AKRAB dari seluruh negara telah menghadiri konvensyen pada kali ini. YBhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) – TKPPA(O)  telah sudi menyempurnakan majlis perasmian dan menyampaikan watikah pelantikan kepada  jawatankuasa MAK dan pengerusi AKRAB dari seluruh agensi.  Konvensyen pada kali ini juga menjadi lebih bermakna kerana  “Buku Panduan dan Konsep MAK” terbitan BPPs telah dilancarkan oleh YBhg Dato TKPPA(O). Buku ini boleh dijadikan sebagai panduan   menguruskan organisasi dan aktiviti MAK.

Bertemakan “AKRAB Menjana Transformasi Minda Positif Perkhidmatan Awam”, sebanyak dua kertas kerja  telah di bentangkan iaitu “Pelaksanaan Buddy System Dalam Perkhidmatan Awam” oleh Dr. Aris Kasan (Pengarah BPPs) dan “Transformasi Minda AKRAB” oleh  Dr. Ruziati binti Mior Ahmad Ariffin (Timb. Pengarah BPPs). Manakala Encik Pauzan bin  Ahmar (Pengerusi AKRAB  JPA) selaku penerima Anugerah AKRAB Utama 2010 dan Encik Faiz Ramzi bin Sutarji  mewakili  SME Corp. (penerima anugerah AKRAB Gemilang 2010) pula telah berkongsi pengalaman masing-masing yang sangat bermanfaat kepada para peserta.

Pada sesi petang pula “MAK Talk Circle” telah diadakan. Dr. Aris bin Kasan, Tn. Hj. Abdul Latif bin Ibrahim (Pengerusi MAK) serta Encik Pauzan bin  Ahmar (Timb. Pengerusi) telah turut menjayakan sesi ini. Encik Mohd Afendi Ya (Setiausaha MAK) telah bertindak selaku moderator. Para peserta telah terlibat aktif di dalam sesi soal jawab dan mengemukakan pelbagai pandangan serta  idea mereka  bagi memajukan lagi organisasi AKRAB.  Gerai jualan buku dan pameran berkaitan aktiviti AKRAB yang dibuka di bahagian hadapan dewan turut berjaya menarik perhatian peserta yang hadir.  Tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan konvensyen pada kali ini.  – MyAkrab.

Posted by: Admin | November 28, 2011

Facebook MAK

Kepada semua ahli AKRAB yang masih belum menyertai facebook “Majlis Akrab Kebangsaan”. Anda di pelawa untuk menyertainya pada bila-bila masa. Facebook ini membuka ruang kepada semua ahli AKRAB, pegawai Psikologi dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui perkembangan terbaharu berhubung aktiviti AKRAB di seluruh negara. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Admin di alamat e-mel berikut : myfendi165@yahoo.com.

Posted by: Admin | November 28, 2011

Tahukah anda apakah “Pementoran” ?

Pementoran merupakan satu pendekatan untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara profesional oleh mentor (pegawai yang terlatih, berkemahiran dan beretika) bagi pembangunan diri menti (pegawai yang memerlukan bimbingan). Pendekatan ini melibatkan aktiviti perhubungan, pemindahan kemahiran personal dan profesional seorang pegawai dalam jangka masa yang ditetapkan. Mentor merupakan seorang pegawai yang dilantik untuk membimbing dalam perkembangan kerjaya seorang pegawai. Biasanya mentor adalah seorang yang lebih kanan atau berpengalaman dan boleh dijadikan sebagai ‘role model’ di kalangan rakan sekerja. Menti bermaksud pegawai yang dibantu oleh mentor dalam proses perhubungan pementoran dan biasanya merupakan seorang yang memerlukan bantuan dalam pembangunan diri, perkembangan dan pemantapan kerjaya serta penyesuaian dalam kehidupan harian. (Dipetik dari  buku Panduan untuk Mentor Menti, Bahagian Pengurusan Psikologi JPA)

Posted by: Admin | November 28, 2011

Seminar AKRAB JPA 2011

Buat julung-julung kalinya SEMINAR AKRAB JPA TAHUN 2011 telah diadakan pada 24 Nov 2011 di Dewan Mezzanine, JPA. Seminar ini  telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPA, Puan Sadiah Abu Samah. Objektif seminar ini adalah untuk meningkatkan kemahiran kaunseling di kalangan ahli AKRAB, mengetahui bagaimana pengendalian kes di organisasi dan membina rangkaian antara ahli AKRAB  JPA dan ahli AKRAB di kementerian dan jabatan luar. Seminar ini telah dihadiri seramai 100 orang peserta  yang terdiri dari  pegawai-pegawai psikologi dan ahli-ahli AKRAB.

Posted by: Admin | October 26, 2011

Konvensyen AKRAB Kebangsaan 2011

Konvensyen AKRAB Kebangsaan Kali Ke 2 Tahun 2011 akan diadakan pada 5 Disember 2011. Konvensyen ini akan dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK). Seramai lebih 1000 orang ahli AKRAB dari seluruh negara dijangka akan menyertai konvensyen ini. Konvensyen tahunan ini diadakan bertujuan mendedahkan ahli-ahli berkenaan pengetahuan terkini berkaitan ilmu-ilmu Psikologi / kaunseling yang merupakan ilmu asas kepada ahli AKRAB, disamping mengeratkan lagi perhubungan sesama ahli. Konvensyen sehari ini akan diadakan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. YBhg Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)  dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian. Untuk makluman Konvensyen Akrab Peringkat Kebangsaan kali pertama telah diadakan pada 7 Mei 2010 bersempena majlis perasmian MAK.

Ahli-ahli AKRAB yang berminat untuk turut serta di dalam konvensyen pada kali ini bolehlah menghubungi penyelaras AKRAB di agensi masing-masing. – MyAkrab

Posted by: Admin | October 10, 2011

Elak daripada membaca fikiran orang

Selamat kembali bertugas saya ucapkan kepada rakan-rakan AKRAB. Rasanya dah lama benar blog ini tidak di kemaskini. Almaklum sajalah, selepas cuti beraya, ada pelbagai program yang perlu dilaksanakan sama ada yang rasmi dan yang tidak rasmi. Program jamuan hari raya boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu.

Saya percaya ahli-ahli AKRAB juga terlibat aktif dalam program-program di agensi masing-masing. Kehadiran ahli AKRAB perlu dirasai oleh rakan-rakan di persekitaran kita. Bukannya untuk menjadi glamour, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita sedikit sebanyak dapat membantu atau memberikan semangat kepada  rakan-rakan sejawat. Pada kali ini saya akan menyambung tip ke 8 dari “10 Tip Memudahkan Pergaulan” tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan di dalam buku “Rahsia Personaliti Unggul”,  yang telah dibincangkan sebelum ini.

Tip berikutnya ialah “Elak daripada Membaca Fikiran Orang”. Satu Pepatah Inggeris yang terkenal berbunyi, “Don’t judge a book by it’s cover”. Maknanya jangan menilai seseorang hanya daripada tanggapan pertama. Selalunya, kita akan melabel dan meletakkan ‘warna’ pada seseorang pada pandangan pertama tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Kita melakukan perkara ini dengan melihat rupa fizikal atau tingkah laku seseorang. Apabila kita melabel orang lain, kita seolah-olah membaca fikirannya.

Kita menganggap kita tahu apa dorongan dia melakukan sesuatu dan apa matlamat dia melakukan demikian. Tanpa bersoal panjang, kita menganggap kita tahu segala-galanya tentangnya. Namun, apabila berinteraksi, semuanya bagai tidak kena. Sama juga halnya dengan kita. Apabila orang lain menganggap kita itu dan ini, kita juga melenting dan kata orang itu tidak faham diri kita. Dalam hal ini, baru kita faham bahawa orang lain juga tidak dapat baca fikiran kita !.

Posted by: Admin | August 26, 2011

Belajar Kaedah Komunikasi…

Tip yang ke 7 (dari 10 Tip memudahkan pergaulan) ialah – Belajar Kaedah Komunikasi Yang Berkesan. Menurut kajian, antara tiga penyebab utama masalah rumah tangga adalah kerana komunikasi yang tidak berkesan.

Bahkan banyak perselisihan adalah disebabkan kerana masalah komunikasi. Isu kecil boleh menjadi besar apabila manusia tidak faham cara berkomunikasi yang betul.

Oleh itu bagi meningkatkan persefahaman dan mengeratkan perhubungan yang berkesan, terutamanya komunikasi interpersonal.  Bahkan ramai yang tidak tahu bentuk komunikasi tidak verbal seperti bahasa badan merangkumi sekitar 50 hingga 70 peratus maksud yang disampaikan semasa berkomunikasi.

Sumber : PSQ Rahsia Personaliti Unggul, Ahmad Amri Zainal Adnan.

Older Posts »

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.